Dua Gudang Musnah Terbakar.

Penampang: Dua gudang yang dijadikan tempat penyimpanan peralatan elektrik dan barangan kekal termasuk bekalan minyak hitam, milik sebuah syarikat tempatan musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran yang berlaku jam 2 pagi itu memusnahkan keseluruhan dua bangunan berkeluasan lebih 1,400 meter persegi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang  Zainal@John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.03 pagi dan empat jentera, dua lori tangki, tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama 35 anggota serta pegawai tiba di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba seterusnya membuat pemadaman dan penyelamatan menggunakan kaedah “Offensive firefighting” dari beberapa sudut bangunan.

“Pada awalnya, pasukan bomba berdepan kesukaran berikutan pili air di bangunan berkenaan tidak berfungsi dan terpaksa mendapatkan pili bomba lebih 200 meter dari lokasi.

“Selain itu, stor berkenaan yang turut menyimpan bahan pelincir minyak hitam turut melambatkan proses pemadaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, pasukan bomba seterusnya berjaya mengawal kemerebakan kebakaran pada jam 5.10 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya kira-kira 9 jam selepas itu.

Katanya, operasi pemadaman turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lintas serta Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu yang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setakat ini, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon Kota Kinabalu,” katanya.

Tamat