Perodua pecah rekod jualan, belanja RM600 juta beli komponen tempatan pada Oktober

Rawang, 3hb Nov: Perodua berjaya mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 26,852 kenderaan pada Oktober 2020, selepas memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarahnya sebanyak 25,035 unit pada September 2020.

“Pada September, kami telah mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini, kami telah mengatasi pencapaian tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif.

“Dalam Oktober sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang,” tambah beliau.

Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98% secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh,” ujar Dato’ Zainal.

“Kejayaan ini dicapai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diikuti oleh setiap kakitangan dan rakan niaga kami, termasuk bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah – bersama dengan SOP asal yang diperkenalkan pada Mei.

“Dengan komitmen para pembekal, pengedar-pengedar sah kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan yang paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kami kerana kenderaan Perodua mereka dihantar dalam tempoh yang terdekat,” tambah beliau.

Perodua telah menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada Oktober. Tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.

“Strategi kami seterusnya adalah untuk memanfaatkan penawaran nilai dan kualiti dalam produk dan perkhidmatan kami kepada rakyat Malaysia. Dari segi penyelenggaraan kenderaan, alat ganti kami mencukupi untuk memenuhi setiap keperluan anda kerana kebanyakannya dikilang secara tempatan,” kata Dato’ Zainal.

“Kami sedang berusaha untuk mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran ini bagi memastikan penghantaran kekal tinggi dan para pelanggan kami berpuas hati dengan menyediakan kemampu-milikan bagi semua produk dan perkhidmatan kami,” tambah beliau.

Dalam memberi lebih ganjaran kepada para pelanggannya, Perodua menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Di samping itu, Perodua juga turut menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember 2020. Tawaran ini hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua KL yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Sila kunjungi www.perodua.com.my, hubungi atau kunjungi pusat-pusat jualan kami untuk maklumat lanjut mengenai tawaran terkini Perodua.

 

  • Tamat