IPD Labuan Tambah Tiga SJR Kawal Penularan Covid-19

Labuan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan meningkatkan kawalan penularan wabak Covid-19 dengan menambah tiga sekatan jalan raya (SJR) di tiga kawasan berisiko tinggi

Tiga kawasan yang ditambah ialah Jalan Tenaga, Jalan Simpang 4 masuk ke Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim dan Jalan masuk ke kawasan SPMP, Kiamsam sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketiga-tiga kawasan yang dikenalpasti adalah kawasan yang berisiko tinggi.

Katanya, semua kawalan itu dilakukan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan dalam usaha memutuskan rantaian wabak berkenaan.

“Tujuan penambahan tiga kawasan SJR adalah untuk menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Memastikan tidak ada orang luar yang tidak berkenaan masuk ke tiga lokasi itu. Selain memudahkan pihak polis mengesan individu yang melanggar arahan kuarantin untuk diambil tindakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut SJR berkenaan, Muhamad Farid berkata, bagi kawasan di Jalan Tenaga, pihaknya menutup dua persimpangan jalan iaitu di simpang jalan keluar dari SJK(C) Chi Hwa dan jalan pintas berdekatan Gelangggang Tenis di Jalan Tenaga.

“Proses penutupan jalan di Jalan Tenaga ini dilakukan buat sementara waktu iaitu dari jam 6 pagi hingga jam 8 malam untuk memastikan orang ramai tidak menggunakan jalan itu selain mengelakkan orang yang tidak berkenaan masuk ke kawasan berkenaan.

“Hanya penduduk yang tinggal di kiri dan kanan Jalan Tenaga sahaja dibenarkan masuk. Pihak polis menasihatkan orang ramai yang selalu menggunakan jalan berkenaan supaya menggunakan laluan lain buat sementara waktu,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan agar semua warga Labuan terus mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mudah panik dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh PDRM dalam membendung penularan Covid-19 di Labuan,” katanya.

Tamat