KD PAUS Berjaya Kesan Dan Usir Bot Nelayan Vietnam.

Kota Kinabalu: Kapal Diraja (KD) PAUS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengesan dan menahan sebuah bot nelayan asing ketika sedang melaksanakan rondaan, di perairan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Bot nelayan asing berkenaan dikesan di kedudukan kira-kira 149 batu nautika perairan ini dan dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Pegawai Memerintah KD PAUS Leftenan Komander Nor Hisham Rahman berkata, sebaik ditahan, bot nelayan berkenaan dinaiki seorang tekong bersama 16 orang awak-awak.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua awak-awak dan tekong di dalam bot terbabit adalah warganegara Vietnam.

“Bot nelayan berkenaan kemudiannya diusir dan diberi amaran keras untuk tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di Zon Maritim Malaysia pada masa hadapan.

“Pihak TLDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara dan rondaan serta pemantauan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Hisham berkata, TLDM akan sentiasa berusaha untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim serta mengelak penularan penyakit Covid-19 oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan laut.

Tamat