Siasat Perkara Sebenar!


KOTA KINABALU: Barisan pemimpin utama Warisan Plus, hari ini, tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan sebuah portal berita yang bukan saja dibimbangi mempunyai agenda tersembunyi tetapi juga menjejaskan reputasi parti gabungan berkenaan.

Laporan berita yang viral sejak beberapa hari lalu itu mendakwa Kerajaan Sabah dibawah kepimpinan terdahulu mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Naib presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kenyataan itu ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam berhubung lambakan PATI di Sabah berlaku ketika pemerintahan Warisan Plus.

Katanya, laporan yang merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri itu menegaskan lambakan PATI disebabkan oleh pengeluaran PSS dan IMM13.

“Perkara ini kita anggap tidak betul, jadi kita berharap supaya ia disiasat pihak berwajib kerana sepanjang ingatan saya, kerajaan Warisan Plus tidak pernah mengeluarkan pas yang didakwa.

“Perkara ini kita tidak boleh anggap mudah kerana kalau dibiarkan, sudah tentu menjejaskan reputasi kita dahulu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nelson Angang, Ketua Pemuda UPKO, Felix Saang dan ADUN Luyang dari Parti DAP Phoong Jin Zhe.

Jaujan berkata, ketika dalam kabinet Sabah, tiada sebarang arahan ataupun keputusan untuk mengeluarkan pas berkenaan

“Kalau yang didakwa itu berlaku, pihak berwajib perlu siasat kerana yang layak mengeluarkan pas seperti IMM13 ini adalah pihak berwajib seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kita tidak tergamak dan tidak terfikir untuk mengeluarkan PSS atau kad burung-burung dan perkara ini jangan dijadikan sebagai modal oleh pihak tertentu,” katanya.

Tamat