Wanita Melecur Rumah Terbakar.

Putatan: Seorang wanita melecur di kepala, lengan dan kaki selepas nyaris rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya dalam kejadian di Kampung Talang Taun, Petagas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan selamat dan dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Putatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Zainal@John Radsung berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 10.51 pagi.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang berkeluasan 185 meter persegi dan terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua aliran 60 meter dengan tiga pancutan hos.

“Api berjaya dikawal pada jam 11.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.57 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Tamat