Tanah Runtuh, Dua Rumah Ranap

Kimanis: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan lereng bukit, Batu 18, Jalan Kimanis, di sini, pagi tadi, meranap dua rumah.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kedua-dua rumah berkenaan tidak berpenghuni semasa kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku di kawasan berbukit setinggi kira-kira 150 meter dan beberapa rumah juga dikatakan sedang dalam dibina di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.51 pagi.

“Hasil siasatan mendapati runtuhan setinggi 150 meter dan memusnahkan dua buah rumah yang tidak berpenghuni.

“Pasukan bomba bagaimanakan menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, operasi itu membabitkan seramai sepuluh anggota bomba dan sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti.

Operasi berkenaan turut dibantu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Jabatan Kerja Raya Papar.