IKAN BOM DAN PERAHU DIRAMPAS.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua perahu dan merampas ikan yang dipercayai hasil kaedah bahan letupan dalam operasi di Kampung Tobo-Tobo, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, dua lelaki yang menaiki perahu berkenaan bagaimanapun lari ke kawasan bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, hasil pemeriksaan di dalam ruangan perahu berkenaan berjaya menemukan kira-kira 25 kilogram pelbagai jenis ikan.

Katanya, semua ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua-dua perahu dan muatannya telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 52 (1) (a) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk ikan bom dianggarkan berjumlah RM5,725.

“Kes diserahkan ke Balai Polis Bum-Bum untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk tindakan.

Katanya, masyarakat boleh melaporkan sebarang aktiviti yang melanggari undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197.

Tamat