Pesakit Covid-19 Terselamat Selepas Terjun Dari Tingkat 6 Hospital Likas.

Kota Kinabalu: Pantang maut sebelum ajal, seorang lelaki yang dipercayai tertekan selepas ditahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di sini, sejak beberapa hari lalu, dillaporkan terjun dari tingkat enam hospital berkenaan, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 62 tahun terbabit dikatakan terselamat selepas tersangkut di bumbung tingkat tiga hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditempatkan di hospital berkenaan selepas didapati menghidap penyakit kanser dan positif Covid-19.

Katanya, mangsa dipercayai tertekan sebelum mengambil keputusan berkenaan namun polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

“Mangsa yang parah akibat kejadian itu, diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba dilokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Mangsa kini dirawat di hospital sama dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mengambil keterangan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam.

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Lintas dan Balai Bomba Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun mangsa yang sudah terjun dari tingkat enam tersangkut di bumbung tingkat tiga hospital berkenaan.

“Pasukan bomba seterusnya menjalankan operasi menyelamatkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tamat