Kerjasama Dan Fahami SOP, Faktor Pematuhan SOP Di Daerah Sabah.

KOTA KINABALU: Kadar kerjasama dan pemahaman yang tinggi terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa daerah di Sabah menjadi faktor utama pematuhan dalam kalangan masyarakat.

Sehingga kini, tiga daerah yang dilaporkan mencatat pencapaian pematuhan SOP tertinggi sehingga 99 peratus adalah daerah Sipitang, Kinabatangan dan Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pemantauan polis di premis sekitar Pekan Sipitang mendapati tahap pemahaman penduduk amat tinggi mengenai wabak Covid-19.

Katanya, itu membawa kepada kadar pematuhan SOP yang tinggi setiap hari di Sipitang.

“Pertamanya, polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sentiasa membuat pemantauan di setiap premis bagi memastikan orang ramai termasuk peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Selain itu, kita juga arahkan anggota dari unit kereta peronda (MPV) melakukan pengumuman dari semasa ke semasa supaya penduduk mengikut SOP dan seterusnya mengawal pergerakan orang ramai keluar masuk ke daerah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Champin berkata, polis turut melakukan sekatan jalan raya (SJR) di tiga laluan utama di daerah ini yang bersempadan dengan Lawas, Sarawak dan beberapa daerah lain seperti Beaufort dan Tenom.

“Kita ada tiga SJR di daerah ini iaitu di Kampung Naluyan (Jalan Sipitang-Beaufort), Kampung Melamam (Jalan Sipitang-Tenom) dan hadapan Balai Polis Sindumin (sempadan Sindumin-Lawas).

“Biasanya penduduk patuh dengan arahan iaitu mereka mendapatkan surat kebenaran daripada polis jika ingin merentas daerah dan hanya bagi kenderaan  perkhidmatan perlu (essential services) saja yang akan melalui sekatan jalan ini.

“Jadi kita jarang keluarkan saman memandangkan penduduk dilihat faham dan patuh dengan arahan SOP selain memahami situasi kita berdepan dengan wabak ini,” katanya.

Tamat