Serang Polis Menggunakan Rantai Chainsaw.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas menyerang anggota dan pegawai polis menggunakan rantai ‘chainsaw’ dalam kejadian di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan operasi ‘Ops Poket’ dikatakan terserempak dengan seorang lelaki yang dilihat sedang menghisap gam.

Bagaimanapun sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki berusia 21 tahun terbabit terus memaki hamun dan mengugut untuk membunuh pasukan polis berkenaan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek mengeluarkan kata-kata ugutan termasuk menyatakan akan membunuh anggota polis terbabit.

Katanya, suspek kemudiannya bertindak melibas rantai besi beberapa kali ke arah pasukan polis sebelum mereka terpaksa menahan suspek daripada terus menyerang.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang kesalahan lain dan lelaki terbabit juga tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

“Turut dirampas rantai ‘chainsaw’ yang diubahsuai menjadi senjata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, dalam kejadian berkenaan, seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan kanan manakala suspek tidak mempunyai sebarang kecederaan.

Katanya, suspek dan barang kes kemudiannya dibawa balik balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.

Tamat