Mayat Dipercayai Dilanggar Kereta Api Ditemui

BEAUFORT: Kelibat beberapa ekor anjing mengerumuni satu objek terbujur membawa kepada penemuan satu mayat lelaki yang dipercayai dilanggar kereta api dalam kejadian di Batu 62, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Sabiri Idong, 56, ditmeui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api dengan beberapa kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.

Katanya, maklumat kejadian dilaporkan pemandu kereta api berusia 47 tahun yang memaklumkan penemuan mayat mangsa.

“Pemandu terbabit memberitahu, dia dimaklumkan Ketua Stesen Keretapi Beaufort bahawa terdapat satu mayat ditemui di landasan dipercayai dilanggar kereta api.

“Mayat itu ditemui seorang lagi pemandu kereta api jenis kecil kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort untuk mengambil barang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, pemandu kereta api kecil itu kemudian menghubungi Ketua Stesen Keretapi Beaufort untuk memaklumkan kejadian itu.

“Ketua stesen kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengadu yang juga pemandu kereta api yang bertugas hari itu.

“Pengadu memaklumkan, pada jam 1.30 tengah hari, dia mengendalikan kereta api ke Stesen Halogilat sebelum berpatah balik selepas menurunkan penumpang dan tiba kira-kira jam 3 petang di Stesen Beaufort.

“Namun sepanjang perjalanan pergi dan balik beliau tidak mengesan sesiapa berada di landasan serta tidak menyedari pun berlaku kemalangan sehingga dimaklumkan ketua stesen itu,” katanya.

Azmir berkata, mangsa yang cedera di leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Tamat