Mayat Mangsa Hilang Di Bagang Ditemui.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menamatkan operasi CARILAMAT di perairan Kampung Rosob Pitas, di sini, hari ini, selepas penemuan mayat nelayan yang dilaporkan hilang di bagang, dua hari lalu.

Mayat yang dikenalpasti sebagai Hamlee Sinabil, 50, itu ditemui terapung oleh pekerja bagang di sekitar kampung berhampiran.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pihaknya menerima maklumat awal, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 7.30 pagi.

Katanya, semua aset yang terbabit kemudiannya diarahkan supaya segera ke lokasi kejadian untuk siasatan dan pengesahan.

“Adik mangsa mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang hilang dan mayat diserahkan kepada pihak Polis untuk tidakan selanjutnya.

“Dengan penemuan mayat mangsa ini, Operasi CARILAMAT yang bermula 19 November lalu ditamatkan pada jam 9.00 pagi ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Boon berkata, APMM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi sahabat serta semua pihak yang membantu sepanjang pencarian mangsa.

Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan dan salah laku jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24jam.

Tamat