171 Individu Ditahan Membabitkan Akta Rumah Judi Terbuka Sepanjang 2020.


Kota Kinabalu: Seramai 171 individu berjaya ditahan membabitkan kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) dalam 162 serbuan di sekitar daerah ini sepanjang tahun 2020.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 77 individu yang ditahan sudah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih menunggu laporan daripada pakar judi.

Katanya, sepanjang serbuan yang dilakukan, polis turut berjaya merampas wang tunai hasil perjudian bernilai keseluruhan RM42,052 membabitkan aktiviti perjudian atas talian.

“Siasatan awal mendapati, kebanyakan premis perjudian ini akan berselindung disebalik kedai serbaneka untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Namun hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya memutuskan bekalan elektrik terhadap lima premis yang masih berdegil menjalankan aktiviti perjudian,” katanya pada sidang media, hari ini.

Habibi berkata, pemotongan bekalan elektrik ini adalah selaras dengan peruntukkan Seksyen 21A ARJT 1953 yang dilakukan berdasarkan rekod serbuan berulang

Sehubungan itu, Habibi berkata, IPD Kota Kinabalu akan terus komited dalam usaha mengempur premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

Katanya, pihak IPD Kota Kinabalu juga menyeru kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti perjudian haram untuk tindakan pembanterasan segera.

“Bagi kesalahan ini, pesalah boleh dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Tamat