Cubaan Seludup Minuman Keras Berjaya Dipatahkan.

LABUAN: Cubaan seorang lelaki menyeludup 350 karton minuman keras dengan menyembunyikan disebalik muatan tepung gandum gagal apabila kegiatannya itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) di Pekan Menumbok, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama lori yang dipandu selepas dikesan membawa minuman keras tidak bercukai masuk ke tanah besar Sabah.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM, Inspektor Shafiq Rezza Rahim berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat melancarkan Op Terancang bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil maklumat yang diterima, terdapat sebuah lori 10 tan dipercayai bergerak dari Labuan ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebanyak 350 karton minuman keras disembunyikan bersama muatan tepung gandum dalam kargo lori berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua minuman keras berkenaan tidak bercukai dan dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Shafiq berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk cukai.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tamat