RM2.4 Juta Syabu dan Pil Ekstasi Dirampas.


Tawau: Pasukan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mematahkan satu cubaan penyeludupan dadah bernilai lebih RM2.43 juta dalam operasi di Kuala Sungai Tawau lama, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, sebanyak 54.35 kilogram dadah jenis syabu dan 234 biji pil ekstasi dipercayai untuk diseludup keluar berjaya dirampas.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan berjaya dilakukan selepas pasukan keselamatan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Tawau menuju ke perairan Indonesia.

Katanya, pasukan keselamatan yang terdiri daripada aset laut ESSCOM membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kemudiannya terus diaktifkan untuk mengejar bot berkenaan.

“Bagaimanapun, kehadiran pasukan keselamatan disedari dua suspek di atas bot berkenaan sebelum bertindak berpatah balik dan melarikan diri ke arah Sungai Tawau Lama.

“Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak meninggalkan bot berkenaan dan berjaya melarikan diri ke kawasan gelap ,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan membawa kepada penemuan tiga kotak mengandungi bungkusan teh china.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu serta satu paket plastik berisi 234 biji pil ekstasi,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, rampasan itu adalah yang terbesar dilakukan pihak ESSCOM sejak Operasi Cegah PATI Darat dan Laut dilancarkan pada Mac lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya  1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Operasi ini adalah inisiatif rondaan bersama yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, APMM dan TLDM yang bertujuan mengekang kemasukan PATI bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 serta mencegah kegiatan jenayah lain.

“Sehubungan itu, ESSCOM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan semua aktiviti haram dan akan berhadapan tindakan undang-undang jika didapati terbabit dalam aktiviti itu,” katanya.

Tamat