TINDAKAN PANTAS BOMBA BERJAYA SELAMAT GADIS TERJUN SUNGAI.


Kota Kinabalu: Tertekan dengan masalah keluarga dipercayai menjadi punca seorang gadis berusia 15 tahun bertindak terjun dari Jambatan Sungai Sembulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, gadis terbabit bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bersiap sedia di tebing sungai.

Difahamkan, gadis yang tinggal di Kampung Sembulan itu disedari cuba membunuh diri oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian yang kemudiannya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 1.46 tengah hari.

Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera, sebuah EMRS dan dua kenderaan utiliti dikerah ke lokasi kejadian.

“Selepas hampir lima minit memujuk, gadis itu bertindak terjun ke sungai menyebabkan pasukan bomba yang sudah bersiap sedia di sungai terus bertindak menyelamatkannya.

“Gadis itu kemudian dibawa ke daratan sebelum ditenangkan dan diberi rawatan awal oleh pasukan ERMS” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, gadis itu kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kebenaran pasukan polis untuk pemeriksaan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 2.23 petang,” katanya.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Tamat