17 Kes Cuba Bunuh Diri Sepanjang Dua Tahun Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu merekodkan sebanyak 17 kes cubaan bunuh diri sepanjang 2019 hingga semalam,” Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Menurut Habibi, antara kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan adalah membabitkan kes terjun bangunan, terjun sungai dan gantung diri.

Katanya, daripada keseluruhan 17 kes itu, 14 kes membabitkan kematian manakala tiga lagi berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

“Sepanjang tahun lalu, IPD KK menerima tujuh kes iaitu dua kes terjun bangunan manakala lima lagi kes gantung diri.

“Bagi tahun ini pula, sebanyak 10 kes direkodkan membabitkan tujuh kes gantung diri dan tiga lagi cubaan bunuh diri,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS) kepada anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) di perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini.

Habibi berkata, antara faktor yang mendorong berlakunya cubaan atau membunuh diri yang dikesan adalah termasuk kemurungan akibat masalah kewangan dan bebanan hutang.

Selain itu katanya, pihaknya turut merekodkan masalah perceraian, pengabaian keluarga, gangguan mental dan berhalusinasi serta tekanan perasaan akibat masalah peribadi.

Sehubungan itu, Habibi menasihatkan individu yang mengalami masalah atau tekanan supaya mendapatkan bantuan kaunseling dan meminta supaya jangan ambil tindakan yang singkat dengan melakukan bunuh diri.

“Bagi kes cubaan bunuh diri, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri,” katanya.

Tamat