Tiga Pelajar Cedera Terjatuh Dari Jambatan Gantung.


RANAU: Tiga pelajar yang terpaksa menyusuri jambatan gantung bagi mendapatkan jaringan internet untuk mengikuti kelas dalam talian cedera selepas terjatuh dari jambatan berkenaan yang runtuh di Kampung Gusi, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut itu dikatakan berada di tempat kejadian bersama lima lagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Difahamkan, dua pelajar mengalami kecederaan patah peha dan betis manakala seorang lagi mengalami kecederaan tulang belakang.

Jambatan gantung setinggi kira-kira 18 meter dari paras sungai berkenaan dikatakan menjadi satu-satunya tempat yang mempunyai isyarat internet.

Oleh demikian, sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan perkhidmatan jaringan internet.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihak polis akan mengadakan lawatan ke lokasi bagi mendapatkan laporan penuh kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Tamat