Penganggur Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati.

Kota Kinabalu: Seorang penganggur yang memilih jalan mudah dengan menjadi ‘keldai’ dadah bagi mendapatkan wang berdepan hukuman gantung sampai mati apabila ditahan bersama lebih satu kilogram syabu, Rabu lalu.

Suspek lelaki berusia 21 tahun itu berjaya ditahan berhampiran Kompleks Perikanan Likas, pada jam 11.45 pagi, hasil intipan dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semasa ditahan, suspek dilihat berlegar-legar di kawasan kompleks berkenaan dengan membawa satu beg kertas dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek kemudiannya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkusan plastik teh cina bertulis Qing Shan berisi syabu seberat 1,052 gram.

“Suspek adalah seorang penganggur yang sanggup menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah sejak tahun lalu bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Suspek berperanan sebagai penghantar bekalan dadah kepada pembeli dan mendapat upah antara RM200 hingga RM1,000 bagi setiap penghantaran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan sebanyak RM47,340 berdasarkan harga pasaran semasa.

Sementara itu, Habibi berkata, siasatan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga didapati negatif.

Katanya, suspek juga ditahan reman bermula semalam, bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,”tegasnya.

Tamat