Umpan Gula-Gula Sebelum Merogol Mangsa.

Suspek berusia 25 tahun yang berjaya ditahan mengaku merogol mangsa.


Kota Kinabalu: Umpan gula-gula sebelum merogol mangsa. Itu taktik seorang lelaki yang ditahan polis selepas merogol seorang kanak-kanak perempuan berhampiran Jalan Tuaran Bypass, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 8 tahun dikatakan keluar berseorangan untuk pergi ke rumah makciknya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan balik, mangsa ditahan suspek berusia 25 tahun yang meminta kanak-kanak terbabit mengikutinya dengan memberikan gula-gula.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek kemudiannya membawa kanak-kanak terbabit ke sebuah pondok di kawasan hutan kira-kira 300 meter dari rumah mangsa.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang ketakutan terus menangis dan memberitahu dia mahu pulang ke rumahnya.

“Suspek menghalang mangsa sebelum menunjukkan sebilah pisau kepada mangsa. Mangsa yang ketakutan terus menangis di dalam pondok berkenaan.

“Suspek kemudiaannya bertindak menciumnya sebelum membuka baju kanak-kanak terbabit dan terus merogolnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, kanak-kanak terbabit kemudiannya dibenarkan balik dan diberikan wang sebanyak RM5 sebelum diarahkan supta tidak memberitahu kejadian itu kepada bapanya.

Bagaimanapun katanya, sebaik sampai di rumah, mangsa terus menceritakan kejadian yang menimpanya kepada ahli keluarga sebelum membuat laporan polis.

“Sebaik menerima laporan, siasatan lanjut terus dijalankan dan mangsa juga turut dirujuk kepada Doktor Pakar yang mengesahkan terdapat kesan koyakan baru dikemaluan mangsa.

“Siasatan polis akhirnya berjaya menahan suspek kira-kira 25 jam selepas menerima laporan di kawasan Wisma YLY, Inanam dan merampas barang kes berkaitan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku merogol mangsa dan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif Methapetamine,” katanya.

Habibi berkata, suspek ditahan reman sehingga 3 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tamat