Geng 66 Diburu.

Kota Kinabalu: 10 lelaki dipercayai ahli ‘Geng 66’ diburu polis selepas menyerang tiga remaja berusia 14 tahun di sebuah restoran, di Lintas Plaza, di sini, malam tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 9 malam itu, ketiga-tiga mangsa cedera di muka dan tangan selepas diserang dengan kerusi hanya kerana tidak puas hati dengan cara mangsa menolak untuk menyertai kumpulan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum didatangi kumpulan terbabit.

Katanya, salah seorang daripada kumpulan penyerang itu kemudiannya bertanyakan kepada ketiga-tiga mangsa dari kumpulan mana.

“Semua mangsa menerangkan mereka bukan dari mana-mana kumpulan serta tidak mahu menyertai mana-mana kumpulan.

“Ketiga-tiga mangsa terus diserang menggunakan kerusi dan meja oleh kumpulan berkenaan sebelum ditenangkan oleh pemilik restoran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, akibat daripada insiden itu, mangsa mengalami kecedaraan lebam di mata kiri dan siku kanan manakala dua lagi rakannya  turut cedera di tangan dan lebam di mata.

Katanya, semua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati, salah seorang mangsa mengenalpasti suspek yang mulakan rusuhan itu.

“Hasil semakan dengan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat ( D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengenalpasti beberapa suspek yang terbabit,” katanya.

George berkata, usaha mengesan dan menahan semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menyalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu, Inspektor P. Palani Nathan ditalian 0164122835,” katanya.

Tamat