Kota Kinabalu: Insiden jambatan gantung runtuh menyebabkan tiga pelajar cedera ketika mencari talian internet adalah kenyataan pahit yang membuktikan kemunduran sistem digital Sabah walaupun negeri-negeri lain sudah mengidam capaian internet lebih tinggi daripada 4G.
Statistik terbaharu pula menunjukkan lebih 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai capaian internet yang baik menyebabkan pembelajaran melalui dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berjaya.
Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, menyentuh soal kemiskinan digital yang melanda, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah memainkan peranan yang lebih proaktif dan secara langsung dalam memastikan pembangunan telekomunikasi digital di seluruh negeri secara menyeluruh dan dipantau.
Katanya, Pelan Tindakan Jaringan Digital Negara (JENDELA) bermula tahun 2021 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan idea bernas untuk menaik taraf jaringan digital negara melangkaui 4G.
“Kita sedia maklum aspirasi negara melalui JENDELA amat baik iaitu menaik taraf menara telekomunikasi kepada capaian 4G serta menambah jumlah menara telekomunikasi di negeri ini agar penembusan internet lebih tinggi.
“Pelaksanaan JENDELA hanya mampu mencapai objektif jika Kerajaan Negeri Sabah melalui agensinya mengambil peranan utama dan terlibat secara langsung dalam projek pembangunan digital negeri.
“Kerajaan Negeri Sabah hendaklah mempunyai sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Ghazalie berkata, sistem ini perlu agar Kerajaan Negeri Sabah dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti serta pelan JENDELA dapat memanfaatkan rakyat secara menyeluruh dan berkesan.
Katanya, (CTTSB) selaku anak syarikat Warisan Harta milik penuh kerajaan negeri akan berganding bahu dan membantu usaha meningkatkan capaian internet di negeri ini.
“Sebagai pemilik dan pengurus kepada 257 menara telekomunikasi di negeri ini, CTTSB merupakan salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara, justeru kepakaran yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu Kerajaan Negeri Sabah.
“CTTSB akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan agar pelan melebarkan jalur internet ke seluruh pelusuk negeri dapat direalisasikan.
“Bagi mencapai aspirasi ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyediakan peruntukan tinggi dan secukupnya kepada Sabah serta akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Ghazalie berkata, kita tidak mahu berulang lagi insiden seperti jambatan gantung runtuh atau rakyat terpaksa memanjat pokok dan bumbung bangunan demi capaian internet lebih baik, ini masanya Kerajaan Negeri Sabah lebih peka dan bertanggungjawab demi rakyat.
Tamat