ESSCOM TAHAN WARGA ASING MILIKI SYABU.


KALABAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing selepas didapati memiliki dadah jenis syabu bernilai lebih RM4,200, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah batu 3, di ladang bukit Tukok Sabah Softwood, di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerah melakukan tugas rondaan jarak jauh (RJJ) Op Benteng.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya ternampak seorang lelaki berdiri di hadapan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila anggota keselamatan cuba menghampiri, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tapi berjaya ditahan.

“Pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek mendapati, polis menemui lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan Kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, siasatan awal mendapati suspek warga Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ditahan untuk siasatan.

Katanya, turut dirampas beg silang, wang tunai RM270 dan satu unit alat penimbang digital dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,470.

“Suspek dan barang-barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut”.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan maritime Malaysia akan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan.

Katanya, ia termasuk melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu membabitkan bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad menyeru semua lapisan masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan ESSZONE supaya sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Katanya, laporan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM ditalian 089-863181 ataupun menghubungi balai-balai polis yang berhampiran.

Tamat