Guna Khidmat Penunggang Motosikal Edar Dadah Ke Sipitang.

Sipitang: Tunggu kawan untuk hantar minyak. Itu alasan tidak masuk akal seorang lelaki yang ditahan polis sebelum didapati membawa syabu bernilai RM5,000, di perhentian bas di Kampung Kalamauh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lelaki terbabit ditahan bersama motosikalnya oleh sepasukan polis bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan Op Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek berusia 22 tahun itu berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 51.2 gram di tempat duduk motosikal suspek.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis IPD Sipitang untuk siasatan selanjutnya bagi mengenalpasti rakan suspek yang dipercayai menempah dadah syabu berkenaan.

“Turut disita sebuah motorsikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek untuk membawa dadah berkenaan.” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, hasil ujian saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methaphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sementara itu, Champin berkata, pihaknya mendapati kes berkenaan adalah Modus Operandi terbaru pengedar dadah yang mengupah orang luar daerah untuk menghantar bekalan dadah ke Sipitang.

Sehubungan itu katanya, semua petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini, diarahkan supaya membuat pemeriksaan teliti terutamanya penunggang motorsikal yang datang dari luar Sipitang pada waktu malam.

“Modus Operandi tangkapan kali ini menggunakan motorsikal untuk menghantar dadah syabu ke daerah Sipitang.

“Mohon kerjasama semua warga Sipitang supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan Sipitang bebas dari dadah Syabu,” katanya.

Tamat