SEGERAKAN PEMBINAAN LEBIH BANYAK MENARA DI SABAH MELALUI PELAN JENDELA

Ghazalie Ansing

Kota Kinabalu: Pemasangan teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) untuk mengatasi masalah capaian jalur lebar di Kampung Gusi, Kundasang, adalah penyelesaian jangka pendek untuk memastikan pelajar sekolah di situ mempunyai akses yang lebih baik.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, VSAT mampu memberikan capaian jalur lebar di kawasan tertentu pada radius kira-kira 100 atau 200 meter dan justeru itu piring pemancar akan diletakkan di sekolah bagi kemudahan para pelajar.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan masalah capaian jalur lebar yang amat terhad di Kampung Gusi dan kawasan sekitarnya diatasi sepenuhnya, pembinaan menara telekomunikasi adalah yang terbaik.

“Masalah yang berlaku di Kampung Gusi berpunca daripada radius jaringan jalur lebar yang tidak cukup meluas.

“Keadaan itu sama dengan masalah di Pitas yang tular beberapa bulan lalu selepas seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan talian internet.

“Di Kampung Gusi, capaian yang terhad menyebabkan pelajar sekolah terpaksa mencari satu lokasi tertentu sahaja untuk membolehkan mereka mengakses jalur lebar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ghazalie berkata, bagi memastikan jaringan jalur lebar boleh diakses dari tempat tinggal tanpa memerlukan para pelajar keluar dari rumah, pembinaan menara telekomunikasi adalah penyelesaian mutlak.

Katanya, radius capaian jalur lebar yang mencecah beberapa kilometer membolehkan bukan saja pelajar sekolah, tetapi para penduduk Kampung Gusi dan penghuni di kawasan sekitarnya turut mendapat manfaat.

“Common Tower Technologies Sdn. Bhd. menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membina tiga menara telekomunikasi berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bermula tahun depan.

“Pembinaan menara telekomunikasi perlu diperbanyakkan di seluruh negeri terutama di kawasan luar bandar untuk memastikan masyarakatnya turut mendapat akses jalur lebar terbaik seperti yang dinikmati masyarakat bandar,” katanya.

Tamat