Dua Pengecat Bangunan Berdepan Detik Mencemaskan.

Kota Kinabalu: Dua pekerja mengecat bangunan sebuah hotel terkemuka di ibu negeri ini, berdepan detik cemas apabila gondola yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal sehingga tersangkut di tingkat lapan, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, dua pekerja berusia 35 dan 38 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan unit ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) serta 11 anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa masih tersangkut pada gondola di tingkat lapan bangunan berkenaan.

“Bomba terpaksa mendapatkan bantuan jentera  ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP) untuk membantu menurunkan kedua-dua mangsa ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ordine berkata, operasi menyelamatkan mangsa dimulakan pada jam 4.15 petang sebelum kedua-dua mereka berjaya diturunkan 19 minit kemudian.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 4.37 petang selepas semua keadaan peralatan dan mangsa dipastikan selamat.

Tamat