TIGA BOT NELAYAN DITAHAN.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan tiga bot nelayan selepas didapati melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai di Perairan Pamaguan, di sini, kelmarin.

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 9 pagi itu, semua bot nelayan jenis tunda berkenaan didapati berada kurang dari tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, semua bot yang ditahan dalam operasi Op Benteng Covid-19 itu didapati sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua bot tunda berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen kerana menunda kurang tiga batu nautika dari pesisiran pantai.

“Ketiga-tiga bot bersama juragan dan empat krew bot, membabitkan rakyat tempatan serta seorang warganegara Indonesia berdaftar ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, beberapa peralatan seperti pukat tunda dan pelbagai hasil laut sebanyak kira-kira 400 kilogram turut dirampas.

Katanya, bot nelayan yang ditahan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Rusdin berkata, pemilik kapal boleh dikompaun sebanyak RM500 untuk kesalahan pertama dan RM1,000 bagi kesalahan kedua serta RM1,500 bagi kesalahan ketiga.

Bagaimanapun katanya, sekiranya kesalahan didapati dilakukan berulang kali, maka lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita.

“Sehubungan itu, masyarakat terutama di kawasan maritim dan pesisir pantai boleh menyalurkan terus maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menerusi aplikasi whatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan untuk tindakan segera,” katanya.

Tamat