CTTSB Sokong Penuh Saranan Ketua Menteri Pelaksanaan JENDELA Seluruh Sabah.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing.

Kota Kinabalu: Common Tower Technologies Sdn. Bhd. (CTTSB) menyambut baik ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk memastikan pelan Jaringan Digital Nasional (JENDELA) dilaksanakan menyeluruh di Sabah.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab, CTTSB bersedia memberikan khidmat kepakaran tempatan yang ada untuk memastikan JENDELA dapat dijayakan selaras dengan objektifnya membina masa depan yang lebih baik untuk setiap Sabahan.

Katanya, CTTSB merupakan antara operator terbesar di Malaysia dengan jumlah sebanyak 257 menara telekomunikasi yang dimiliki di seluruh negeri, justeru Sabah mampu menjadi antara negeri yang memiliki khidmat jalur lebar terbaik.

“JENDELA yang diumumkan sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rakyat Sabah akan memastikan potensi dan kemampuan negeri Sabah dapat dimaksimumkan.

“Seperti yang dinyatakan Ketua Menteri bahawa 41 menara telekomunikasi baharu dan 924 stesen pangkalan data akan dinaik taraf, CTTSB berharap agar pelaksanaanya diberikan kepada agensi tempatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ghazalie berkata, dalam keadaan yang mencabar ketika ini, pelaksanaan JENDELA dapat memanfaatkan agensi Kerajaan Sabah dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman.

“ CTTSB sekali lagi memuji kehendak politik Ketua Menteri yang mahu memastikan rakyat Sabah yang selama ini ketinggalan kini mempunyai harapan menikmati kemudahan jalur lebar lebih baik dan berkualiti,” katanya.

Tamat