Remaja Parah Dibaham Buaya.

TUARAN: Seorang remaja lelaki nyaris maut selepas dibaham buaya dalam kejadian Sungai Kampung Mengkabong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 16 tahun terbabit dikatakan pergi ke sungai berkenaan bersama tujuh lagi rakannya untuk mencari lokan dan siput di tebing sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Katanya, haiwan ganas berkenaan dikatakan menyerang secara tiba-tiba dan terus menarik mangsa ke dalam air.

“Ketika cuba menyeberangi sungai sedalam lebih satu meter itu, seekor buaya tiba-tiba muncul dari dasar sungai berhampiran paya bakau dan menyerang mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa bernasib baik selepas dibantu oleh rakan yang sempat menariknya sehingga terlepas dari cengkaman haiwan berkenaan,” katanya.

Hamizi berkata, sebaik mangsa terselamat, reptilia berkenaan terus menghilangkan masuk ke dasar sungai,” katanya.

Katanya, akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut, badan serta kaki kanan.

“Buaya yang menyerang mangsa dianggarkan sepanjang 1.5 meter dan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung reptilia berkenaan juga diminta menghubungi IPD Tuaran di talian 088-791 933, 088-791 966 atau 088-791 977,” katanya.

Tamat