2,000 Bakul Makanan Untuk Rakyat Pitas.

Kudat: Sebanyak 2,000 bakul makanan diedarkan bagi beberapa wakil setiap PDM untuk diagihkan di setiap kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.

Semua bantuan bahan makanan itu disampaikan hasil sumbangan peribadi wakil rakyat kawasan berkenaan Datuk Seri Ruddy Awah.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, bantuan bakul makanan itu diberikan kepada mereka yang tidak tersenarai dalam program E-Kasih.

Katanya, sumbangan membabitkan 90 kampung di sekitar daerah itu yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Usaha ini atas inisiatif saya sebagai wakil rakyat Pitas untuk membantu mereka yang berdepan masalah akibat daripada penularan pandemik Covid-19.

“Semoga dengan sumbangan yang disampaikan ini akan dapat meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ruddy berkata, setiap orang perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya.

Katanya, diharap seluruh masyarakat terutamanya warga Pitas akan mendoakan agar penularan wabak Covid-19 berakhir secepat mungkin.

Tamat