Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Bersiap Sedia.


Kota Kinabalu: Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang ditutup sementara sebelum ini berikutan beberapa anggota dan pegawainya disahkan dijangkiti virus Covid-19, sudah beroperasi seperti biasa.

Itu berikutan, semua anggota dan pegawai di balai berkenaan turut diarahkan menjalani proses kuarantin dalam usaha mengawal penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan sebarang operasi kecemasan berikutan perancangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah yang melaksanakan penugasan bantuan keanggotaan dari balai berhampiran untuk membuka semula operasi BBP Lintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, setakat ini operasi di BBP Lintas beroperasi seperti biasa dan bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan kecemasan.

Katanya, setakat ini seramai lima anggota dan pegawai disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya diarahkan menjalani proses kuarantin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hasil siasatan mendapati, penularan wabak berkenaan dipercayai berpunca daripada ahli keluarga salah seorang anggota sebelum merebak kepada empat anggota lain sejak 25 November lalu.

“Kita hanya menutup operasi BBP Lintas sekejap untuk proses sanitasi sebelum ia dibuka semula dengan penugasan khas anggota dan pegawai dari BBP Kota Kinabalu, BBP Penampang serta BBP Tuaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, lebih-lebih lagi ketika hujung tahun yang mana sering berlaku banjir di beberapa kawasan.

Katanya, JBPM juga sudah menyediakan pelan kontigensi untuk bantuan kepada kawasan-kawasan berpotensi banjir antaranya seperti Kota Belud dan Beaufort.

“Sebagai contoh sekiranya berlaku banjir di Kota Belud, kita akan membuat bantuan penugasan dari bahagian Utara seperti BBP Kudat, BBP Kota Marudu dan BBP Ranau.

“Begitu juga sekiranya berlaku banjir di Beaufort, JBPM akan menggerakkan bantuan dari BBP Sipitang dan BBP Keningau termasuk BBP Kota Kinabalu,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarulzaman mengingatkan kepada semua anggota dan pegawai bertugas supaya sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan potensi jangkitan.

Katanya, ia bagi memastikan kekuatan keanggotaan JBPM Sabah di semua BBP tidak terjejas dan bersiap sedia sepanjang masa.

Tamat