Barang Keperluan Asas Di Sabah Mencukupi.

KOTA KINABALU: Bekalan keperluan asas di Sabah mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit tanpa sebarang pembelian luar biasa pengguna dikesan.

Perkembangan itu diperolehi hasil pemeriksaan di premis-premis perniagaan tumpuan pelanggan yang dijalankan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh daerah di Sabah.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, pemeriksaan oleh pasukan pemantau KPDNHEP kelmarin dan hari ini, mendapati tidak berlaku pembelian panik di 192 premis pasar awam, 13 pasar raya serta 140 kedai runcit dan pasar mini di Sabah.

Katanya, antara barangan yang sentiasa dipantau membabitkan bekalan barangan keperluan asas termasuk barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

“Pemantauan ini dilakukan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 sehingga kini, di mana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat masih lagi berkuatkuasa sehingga 14 Januari 2021 di Sabah.

“Seramai 200 orang pegawai penguatkuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah terlibat di dalam tugas-tugas pemantauan ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, KPDNHEP Sabah juga akan terus memastikan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pemeriksaan harian yang dilaksanakan.

Katanya, KPDNHEP Sabah turut melantik 170 peruncit daerah terpilih dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di Sabah.

“Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang dilantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan.

“Semasa PKPB yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 hingga 14 Januari 2021, KPDNHEP Sabah mengaktifkan bilik gerakan di seluruh cawangan untuk menerima sebarang aduan dan pertanyaan khususnya berkaitan dengan bekalan dan harga barangan,” katanya.

Georgie berkata, bilik gerakan pejabat KPDNHEP Sabah di Kota Kinabalu beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam manakala bilik gerakan di pejabat cawangan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Berikut adalah nombor-nombor telefon Bilik Gerakan KPDNHEP Sabah, iaitu Kota Kinabalu 088-484368, Sandakan 089-668107, Tawau 089-776690, Beaufort  087-222240, Keningau  087-338401, Kudat 088-615311, Tuaran 088-787822, Lahad Datu 089-886090 dan Semporna 089-782855.

“Oleh kerana kedudukan bekalan barangan keperluan asas dan barang kawalan yang mencukupi, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik.

“Semua peniaga di negeri ini juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan berikutan penularan jangkitan COVID-19 ketika ini,” tegasnya.

Georgie berkata, peniaga yang didapati menaikkan harga barang secara tidak berpatutan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang aduan ke sembilan saluran aduan pengguna yang disediakan.

Tamat