56 Mangsa Banjir Dipindahkan.

Kudat: Seramai 56 individu membabitkan lapan keluarga dari kampung Sri Aman, Kampung Landung Ayang dan Kampung Merak Hati, di sini, dipindahkan ke tempat selamat, hari ini.

Semua mangsa terbabit dipindahkan bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi selepas air banjir mula menaiki kawasan rumah mereka berikutan keadaan hujan lebat yang melanda daerah ini sejak malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, pihakya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum mengerahkan pasukan penyelamat bergerak ke lokasi untuk membantu.

Katanya, semua mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tun Mustapha yang dibuka untuk mangsa banjir.

“Semua mangsa berjaya dibawa keluar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan kini ditempatkan di pusat ini sementara menunggu air surut di kampung mereka.

“JBPM ketika ini sentiasa bersiap sedia untuk melakukan sebarang operasi menyelamatkan mangsa banjir pada bila-bila masa,”’katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, JBPM turut menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian dua kereta dan sebuah motosikal tertimbus oleh tanah runtuh dalam kejadian di Jalan Masjid Kampung Ayer, di sini.

Menurut jurucakap PGO, semua kenderaan berkenaan dilaporkan terjatuh dari kawasan tinggi selepas berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, runtuhan dipercayai berlaku ekoran keadaan cuaca hujan lebat yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu.

“Kejadian bagaimanapun tidak membabitkan sebarang mangsa dan pemeriksaan seterusnya dilakukan bagi memastikan keadaan selamat,” katanya.

Tamat