10 Penagih Dadah Ditahan


PAPAR: Seramai 10 individu ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik(BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.

Operasi khas yang dijalankan di sekitar kawasan Papar itu turut berjaya merampas dadah seberat 20.63 gram daripada penagih terbabit.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40-an tahun.

Katanya, semua suspek ini dikenalpasti terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan mereka ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Dua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan.

“Selain itu, lapan lagi individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, hasil ujian saringan air kencing awal yang dijalankan terhadal semua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan dilakukan.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha PDRM, khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

“Disamping itu, operasi kali ini juga dijalankan dalam usaha mencegah aktiviti jenayah di daerah Papar ini, khususnya,” katanya.

Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah di daerah untuk tindakan pembanterasan.

Tamat