Tindakan Tegas Sepanjang PKP.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, penguatkuasaan itu dilakukan dalam usaha untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Katanya, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dikuatkuasakan berikutan jumlah kes positif meningkat hampir setiap hari.

“Fokus PDRM adalah menguatkuasakan SOP sepenuhnya dan kali ini memang tiada nasihat atau teguran sebaliknya.

“Sekiranya berlaku kesilapan atau perlanggaran SOP, pasukan pemantau PDRM akan terus mengeluarkan kompaun,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mes, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, semalam.

Hazani berkata, IPK Sabah mengalami tekanan yang lebih hebat berbanding kontinjen lain di Semenanjung dan Sarawak.

Katanya, polis Sabah berdepan lebih tekanan kerana terpaksa menghadapi pilihan raya sebelum ini walaupun PKP dan sebagainya dilaksanakan sama dengan negeri lain.

“Amat wajar PKP dilaksanakan semula walaupun terdapat sedikit hujah berkaitan seperti persoalan sekiranya PKP dilaksanakan, bagaimana dengan ekonomi dan sebagainya.

“Namun jika ekonomi dibuka tetapi ada yang dijangkiti Covid-19, sama juga ekonomi tidak boleh bergerak,” katanya.

Tamat