50 SJR Seluruh Sabah Sepanjang PKP.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melaksanakan 50 sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini bermula tengah malam tadi.

Ia bagi memastikan segala undang-undang ditetapkan dipatuhi oleh orang ramai dalam usaha memutuskan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Khalid Saion berkata, SJR yang dijalankan dengan membabitkan kira-kira 4,000 petugas keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Katanya, semua SJR berkenaan juga diadakan di beberapa laluan strategik membabitkan jalan utama rentas daerah di negeri ini.

”Selain pelaksanaan SJR yang dijalankan sepanjang tempoh 24 jam, kita juga mengerakkan sebanyak 250 pasukan pemantau untuk membuat pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi terpilih.

“Ia bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui dalam SJR di Jalan Malawa, di sini, tengah malam tadi.

Khalid berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan mengenakan tindakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati melanggari PKP.

Katanya, bagi individu yang perlu merentasi sempadan untuk bekerja, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan surat daripada majikan atau surat kebenaran polis ketika melalui mana-mana SJR.

Sementara itu, tinjauan terhadap pelaksanaan SJR di Jalan Malawa, di sini, tengah malam tadi, mendapati, masih banyak kenderaan yang bergerak walaupun PKP mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna kenderaan terbabit tidak diambil tindakan kerana masing-masing menunjukkan surat daripada majikan selain surat kebenaran daripada pihak polis.

Tamat