Air Pasang Melimpah Sekitar Tanjung Lipat.


Kota Kinabalu: Kejadian air pasang sehingga melimpah ke atas jalan di kawasan Tanjung Lipat, di sini, menimbulkan kerisauan dalam kalangan warga bandaraya ini selepas rakamannya menjadi tular di media sosial.

Rakaman air pasang yang dikatakan mula melimpah seawal jam 7.30 malam tadi turut memaparkan kehadiran pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turun padang untuk mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan.

Difahamkan, fenomena air itu mungkin disebabkan oleh keadaan air laut pasang yang dijangka melanda kawasan laut sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Tinjauan di lokasi pula mendapati, fenomena luar biasa itu menarik perhatian ramai sehingga ada pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui jalan itu berhenti untuk menyaksikannya serta merakamkan fenomena berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran pasukan polis berjaya mengawal keadaan termasuk mengarahkan orang ramai yang berhenti supaya meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amir Zudi Hashim berkata, kejadian air pasang dan angin kencang menyebabkan laut bergelora di perairan negeri ini.

Katanya, fenomena itu menyebabkan berlaku limpahan air laut sehingga ke pesisir pantai selain disebabkan faktor dasar pantai itu sendiri yang turut mempengaruhi keadaan berkenaan.

“Kita tidak boleh menjangkakan tempoh fenomena ini berlarutan namun keadaan biasa menjadi normal beberapa jam selepas itu dan bagi air pasang di sini, mungkin akan surut selepas jam 10 malam ini.

“Kadar kenaikan paras air juga ergantung kepada keadaan semasa, jika air pasang makin tinggi maka limpahan berlaku juga semakin banyak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Amir Zudi turut menasihati orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran supaya tidak menghampiri kawasan pantai bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, pihak meteorologi juga akan terus memantau keadaan cuaca dan membuat kenyataan makluman dari semasa ke semasa.

Tamat