IPK Sabah Akan Cadangkan Kelonggaran Melebihi Radius 10 KM Untuk Sabah.

Penampang: Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah akan mencadangkan kelonggaran berhubung perjalanan melebihi radius 10 kilometer sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu akan dicadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bencana negeri untuk dipertimbangkan.

Katanya, keperluan cadangan ini berikutan jarak antara daerah di Sabah amat luas dan beberapa daerah pedalaman juga terletak jauh daripada kawasan untuk mendapatkan bekalan.

“Permohonan kelonggaran ini akan diutarakan kepada jawatankuasa bencana negeri. Sebagai contoh penduduk Sabindo, di sini, terpaksa turun ke Putatan untuk mendapatkan bekalan berbanding perjalanan lebih jauh ke pekan Papar.

“Begitu juga dengan penduduk di kawasan Tongod, yang terpaksa merentasi daerah ke Telupid untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Penampang – Papar Lama, di sini, hari ini.

Hazani berkata, untuk pengesahan, orang awam boleh membawa bukti tempat tinggal seperti bil air ataupun bilik elektrik untuk ditunjukkan semasa pemeriksaan sjr.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 53 sekatan jalan diwujudkan sepanjang penguatkuasaan PKP di seluruh negeri ini.

Katanya, operasi yang dijalankan itu akan membabitkan kira-kira 5,000 petugas keselamatan yang diketuai polis bersama pasukan keselamatan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Semua SJR berkenaan diadakan di beberapa laluan strategik membabitkan jalan utama rentas daerah di negeri ini bagi memastikan semua SOP ditetapkan dipatuhi orang ramai.

“Begitu juga dengan penguatkuasaan 260 pasukan pemantau pematuhan SOP di seluruh negeri,” katanya.

Hazani berkata, pasukan ini akan dikerah melakukan pemantauan terutamanya di lokasi tumpuan seperti pusat beli belah dan kawasan pantai.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat perlanggaran SOP sepanjang pelaksanaan PKP.

“Penguatkuasaan itu dilakukan dalam usaha untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya.

Tamat