Mati Akibat Renjatan Elektrik.

Lokasi mangsa ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Labuan: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di kawasan penempatan masyarakat pelarian, Kampung Saguking, di sini, semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu ditemui penduduk kampung kira-kira jam 11 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kawasan titian kayu sebelum membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, polis menerima laporan penemuan itu pada jam 2.56 pagi hari ini.

Katanya, sepasukan polis kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh kemudiannya dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan yang menjalankan pemeriksaan.

“Punca kematian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa juga mendapati terdapat beberapa kesan melecur di bahagian badan mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik berikutan terdapat wayar elektrik yang disambungkan ke kawasan penempatan berhampiran mangsa.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kes ini dan kes disiasat sebagai kes kematian mengejut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditemui mati di biliknya dipercayai membunuh diri dengan meminum sabun peluntur dalam kejadian di SK 36, Kalpung Sungai Keling, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa berusia 36 tahun ditemui ekoran tindakan salah seorang jiran yang tinggal berhampiran membuat laporan polis selepas terhidu bau busuk dari arah bilik mangsa.

Polis menerima laporan daripada jiran mangsa yang mendakwa terhidu bau busuk dari arah bilik mangsa.

Mohd Ibrahim berkata, dalam pemeriksaan jam 7.24 malam itu, polis mendapati terdapat mayat seorang lelaki berada di atas katil dalam keadaan terlentang dan berbau busuk.

Katanya, hasil siasatan lanjut, mangsa warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori itu kali terakhir dilihat masih hidup pada Sabtu, lalu.

“Siasatan lanjut ditempat kejadian menemui sebotol bahan peluntur yang terletak di sisi katil mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, sampel darah yang diambil daripada badan mangsa dan tempat kejadian juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisa bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.

 Tamat