Dua Pemancing Temui Mayat.

Penampang: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Moyog, berdekatan Kampung Tuavon, di sini, petang hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui dua sekeluarga yang memancing di jambatan gantung berdekatan sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pemancing  terbabit dikatakan terlihat sesuatu benda hanyut yang kelihatan seperti manusia.

Katanya, kedua-dua individu terbabit kemudiannya menariknya ke tepi sungai dengan menggunakan tali pancing.

“Sebaik berjaya ditarik ke tepi, kedua-dua mereka terkejut apabila mendapati benda yang hanyut berkenaan adalah mayat manusia dalam keadaan tertiarap.

“Mereka kemudiannya memanggil seorang lagi saudara mereka untuk membantu menghubungi polis bagi melaporkan penemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati, mayat lelaki terbabit berpakaian baju T-shirt lengan panjang dan berseluar hitam.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mayat berkenaan dipercayai mati lemas berdasarkan tiada sebarang kesan kecederaan pada mayat mangsa.

“Polis percaya mangsa berusia lingkungan 30-an namun identiti mangsa masih belum diketahui berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat mangsaz

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris memohon kepada masyarakat yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke balai polis Penampang atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

Tamat