Lelaki Rentung Ditemui.

MENUMBOK: Seorang lelaki ditemui rentung di rumah miliknya dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Melikai, di sini, awal pagi, tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa Mohd Ikmal Abdullah, 50, yang tinggal bersama tiga ahli keluarganya dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Ketua Zon Bomba Beaufort Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.12 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua rumah berkeluasan 353 meter persegi sedang terbakar dan musnah hampir 100 peratus.

“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pemeriksaan menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumah.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Tamat