Remaja Pandu Kenderaan Rempuh Klinik.

TENOM: Seorang remaja lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk merempuh sebuah klinik ldalam kejadian di Orchard Plaza, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, hanya remaja berusia 19 tahun terbabit yang mengalami kecederaan memandangkan tiada mangsa lain berada di dalam klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Iswara berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan balik selepas menghantar rakannya kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, ketika melalui klinik berkenaan, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pintu masuk klinik berkenaan.

“Mangsa dikatakan hilang kawalan ketika cuba membelok ke kanan sebelum terus melanggar lot klinik terbabit.

“Akibat kejadian itu, pemandu yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tenom untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, selepas menerima rawatan, pemandu remaja terbabit terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

“Pemandu dipercayai dibawah pengaruh alkohol bagaimanapun kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tamat