Beberapa Lokasi Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu Dilanda Banjir.

Keadaan Pekan Manggatal dinaiki air selepas hujan lebat sejak petang tadi.

Kota Kinabalu: Hujan lebat sejak kira-kira jam 5 petang tadi mengakibatkan beberapa lokasi sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat.

Antara lokasi yang terjejas akibat banjir adalah Pekan Manggatal, Kampung Kembirian, Kampung Rampayan, Indah Permai, Kampung Rugading serta beberapa lagi perumahan di kawasan Kolombong.

Selain itu, turut dilaporkan banjir sekitar Kampung Inanam Laut, Kampung Bantayan, Kampung Tatahan, Kampung Kitobu, Kampung Keliangau dan Kampung Cenderakasih, Likas.

Penduduk yang terjejas terpaksa memindahkan barangan rumah ke tempat selamat.

Salah seorang penduduk Kampung Kembirian, Jefri Gani, 38, ketika ditemui berkata, selepas kira-kira sejam hujan melanda, kawasan pekarangan rumahnya mula dinaiki air pada jam 6.30 petang.

Katanya, air kemudiannya mula memasuki rumah  selepas sejam sehingga paras lutut dan memaksa dia serta keluarganya menaikkan beberapa barangan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat.

“Walaupun air melimpah masuk dengan cepat ke dalam rumah, kami bernasib baik kerana sempat mengemas barangan serta peralatan ke tempat yang lebih tinggi.

“Kami sekeluarga berharap hujan akan berhenti dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan air terus meningkat naik,” katanya.

Jefri berkata, mujur beberapa kenderaan juga selamat dialihkan ke tempat tinggi dan mereka sekeluarga juga bersiap sedia untuk berpindah ke lokasi selamat sekiranya perlu.

Kawasan Indah Permai dilaporkan turut terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.19 malam selepas beberapa lokasi dilanda banjir.

Katanya, seramai 22 anggota bersama jentera penyelamat kemudiannya dikerah ke lokasi terlibat untuk operasi menyelamatkan mangsa banjir.

“Setakat ini, sebanyak empat keluarga diselamatkan dari kawasan Pekan Manggatal ke tempat selamat.

“Dalam operasi terkini, pasukan bomba sudah menyelamatkan sembilan orang dewasa membabitkan tiga lelaki dan enam wanita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, setakat jam 10 malam tadi, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas masih berada dilokasi untuk memantau.

“Ini berikutan keadaan pekan Manggatal terjejas teruk sehingga jalan raya di kawasan berkenaan terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan,”katanya.

Tamat