Dua Peniaga Dikenakan Kompaun.

Beaufort: Dua peniaga makanan, di kawasan Membakut, di sini, dikenakan tindakan kompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Peniaga lelaki dan wanita masing-masing berusia 58 dan 36 tahun itu dikesan menjalankan aktiviti perniagaan dengan membenarkan pelanggan makan di premis mereka.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mohd Azmir Abd Razak berkata, tindakan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort yang menjalankan tugas pemantauan PKP.

Katanya, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis makanan berkenaan mendapati peniaga membenarkan pelanggan makan di gerai mereka.

“Dalam operasi pertama, peniaga lelaki terbabit didapati melanggar SOP PKP dan tindakan kompaun terus dikeluarkan.

“Seterusnya pemeriksaan di sebuah lagi gerai makanan di Kampung Tinambak, di sini, mendapati premis berkenaan dibuka dan beberapa orang pelanggan sedang minum,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, susulan itu, pemilik gerai berkenaan didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan kerana membenarkan pelanggan duduk makan dan minum di gerainya.

Katanya, kompaun dikeluarkan terhadap kedua-dua mereka kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No 9 Tahun 2020

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya akan bertindak lebih agresif dan tiada lagi berunsur nasihat mulai hari ini bagi mengesan pelanggar-pelanggar kesalahan SOP Covid-19.

Katanya, ini demi memastikan rantaian wabak Covid-19 putus dan masyarakat tidak ambil lewa lagi arahan-arahan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Tamat