Tiga Sekawan Hisap Syabu Ditahan.

Kota Kinabalu: Tiga sekawan yang sekawan yang sedang leka menagih syabu di sebuah pondok di Kampung Lok Buno, di sini, diberkas polis, semalam.

Dalam operasi jam 10.20 pagi itu, ketiga-tiga penagih berusia 36 hingga 49 tahun itu ditahan bersama satu paket syabu yang diletakkan di atas lantai seberat 0.10 gram.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik ditahan, polis terus melakukan soal siasat terhadap semua suspek bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penemuan dua lagi bungkusan syabu seberat 75.70 gram yang disembunyikan di dalam lipatan kanvas di pondok berkenaan.

“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas adalah seberat 75.80 yang dianggarkan bernilai RM7,580 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan salah seorang daripadanya juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan menjadi orang tengah kepada sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek mengaku mendapat upah antara RM10 hingga RM100 berdasarkan keuntungan jualan syabu berkenaan.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil ujian saringan urin ketiga-tiga suspek juga positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Habibi berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan semua suspek ditahan reman bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tamat