Jalan Penampang – Tambunan Terputus.


KOTA KINABALU: Jalan Penampang-Tambunan ditutup kepada semua lalu lintas selepas laluan di Kilometer (KM) 45.7 di jalan berkenaan berlaku tanah runtuh.

Jalan yang menghubungkan ibu negeri dengan daerah Keningau dan Tambunan itu ditutup sejak tengah hari tadi selepas dilaporkan tidak lagi selamat untuk dilalui semua jenis kenderaan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berkata, kerosakan itu dipercayai berpunca daripada keretakan tembok penahan tebing jalan berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Katanya, kerosakan membabitkan runtuhan yang dianggarkan sepanjang 50 meter dan tidak lagi selamat dilalui dari kedua-dua arah.

“Ekoran daripada penutupan jalan ini, semua pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan alternatif iaitu Jalan Kimanis – Keningau untuk kedua-dua arah,” katanya.

Sementara itu, hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan beberapa situasi banjir di semua daerah di negeri ini.

Hasil tinjauan mendapati sekurang-kurangnya 10 daerah di seluruh negeri dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sehingga petang, hari ini.

Antara daerah yang dilaporkan banjir ialah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Papar, Beaufort, Tuaran, Pitas dan Kota Belud serta Beluran.

Ekoran daripada perkembangan itu, beberapa pusat pemindahan sementara turut dibuka di daerah terjejas bagi menempatkan mangsa yang terbabit.

Tamat