Penampang Banjir.


Penampang: Hujan lebat sejak petang semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 16 kampung dan taman perumahan ditenggelami air di sekitar daerah Penampang.

Selain itu, dilaporkan sebanyak 12 jalan di sekitar daerah ini juga sudah dinaiki air sehingga  memutuskan laluan kenderaan.

Untuk rekod, setakat ini paras bacaan air sungai sekitar Penampang dicatatkan mencecah 9.49 meter melebihi paras bahaya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pemindahan penduduk terjejas mula dijalankan sejak lewat malam tadi.

Katanya, setakat ini operasi pemindahan membabitkan seramai 31 individu daripada tujuh keluarga sekitar penampang.

“Semua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.

“Pemindahan membabitkan empat lelaki dewasa, 11 wanita dan 16 kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi masih diteruskan membabitkan kerjasama pelbagai agensi pasukan keselamatan yang membuat pemantauan di beberapa kawasan yang dinaiki air.

Katanya, setakat pemantauan mendapati paras air semakin meningkat berikutan hujan masih lagi berterusan.

“Setakat ini kawasan yang terjejas adalah Millenium Height Bundusan, Penampang Proper, Kampung Kumbau, Kg Dabak, Kg Limbanak Kituau, Kg Kolopis, Kg Inobong, Kg Tuavon, Kg Nambazan dan Kg Kibabaig.

“Selain itu, turut terjejas Kg Dungkahang, Pekan Donggongon, Taman Penampang, Regency Park dan Taman Sahabat,” katanya.

Sementara itu, banjir turut menenggelamkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sehingga menyebabkan sebahagian urusan di IPD berkenaan tergendala seketika.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim bagaimanapun berkata, pasukan petugas polis meneruskan operasi pemantauan banjir termasuk menjaga lalu-lintas di kawasan terjejas.

Katanya, kebanyakan jalan utama di sekitar Daerah Penampang dinaiki air dan pengguna jalan raya diminta untuk berhati-hati ketika melalui kawasan banjir serta patuh kepada arahan semasa oleh pihak berkuasa.

“Sebarang pertanyaan mengenai perkembangan banjir serta kawasan-kawasan yang terlibat boleh hubungi Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah Penampang di talian 088-726054,” katanya.

Tamat