Siasatan Menyeluruh Dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali


Kota Kinabalu: Polis sudah menerima laporan berkenaan sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini yang tular dalam media sosial, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh kakitangan di pusat kuarantin berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada kakitangan di pusat berkenaan.

“Hasil siasatan awal, polis percaya minuman keras berkenaan dibawa oleh pesakit sendiri berikutan tiada tindakan pemeriksaan isi kandungan beg yang dibawa oleh pesakit.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat kakitangan ‘frontliners’ bertugas yang membantu membawa masuk minuman berkenaan ke dalam pusat berkenaan,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan dan usaha mengesan individu terbabit dalam rakaman video berkenaan juga diteruskan.

Menerusi rakaman berkenaan, sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan seramai 6 orang lelaki dan 2 orang perempuan sedang memegang tin minum arak jenis bir.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi dalam kenyataan media sebelum ini menegaskan aktiviti meminum arak tidak dibenarkan di semua PKRC.

Tamat