MRSC KOTA KINABALU SELARAS 6 KES CARILAMAT DI SABAH DALAM TEMPOH 18 HARI

KOTA KINABALU: Komuniti maritim terutamanya nelayan tradisional dan pekerja sektor perkapalan diingatkan supaya sentiasa waspada dengan keadaan cuaca semasa bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini ketika di laut.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan rekod sepanjang Januari tahun ini, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu sudah mengaktifkan enam operasi CARILAMAT.

Katanya, ia meliputi satu di perairan Karambunai, tiga insiden di perairan Sandakan dan satu lagi kejadian di Semporna.

“Terdapat mangsa yang masih belum ditemui seperti kes CARILAMAT yang berlaku di Sandakan. Operasi masih dijalankan bagi mengesan serta mencari mangsa yang hilang.

“Keadaan cuaca yang buruk ini turut menyukarkan usaha mencari. Kebanyakan kejadian bot karam adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk serta laut yang bergelora,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran keadaan angin kencang dan laut bergelora akan berterusan sehingga 20 Januari ini.

Katanya, keadaan ini juga menyebabkan kelajuan angin mencecah 60 kilometer sejam serta ombak tinggi melebihi 4.5 meter terutamanya di perairan barat Sabah dan Labuan.

“MET Malaysia mengeluarkan amaran cuaca kategori ketiga atau zon merah di kawasan-kawasan ini.

“Keadaan cuaca kategori ketiga ini amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja pelantar minyak dan gas, aktiviti di pantai, aktiviti menangkap ikan serta perkhidmatan feri,” katanya.

Mohd Rosli berkata, amaran turut dikeluarkan kepada kawasan timur Sabah yang dijangka bakal mengalami angin kencang dan laut bergelora kategori dua.

“Kes terbaru, MRSC Kota Kinabalu mengaktifkan satu lagi operasi CARILAMAT pada jam 12 tengahari tadi.

“Menurut maklumat yang diterima, sebuah bot gentian kaca yang dinaiki dua nelayan karam dipukul ombak di sekitar perairan Kuala Abai, Kota Belud sekitar jam 6 pagi tadi.

“Maklumat sudah disalurkan melalui Pengkalan Hadapan Operasi National Task Force (NTF) Teluk Usukan,” katanya.

Mohd Rosli berkata, seorang daripada mangsa dilaporkan selamat, bagaimanapun butiran mangsa masih belum diketahui.

Sehubungan itu, Mohd Rosli menegaskan, pihak Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengutamakan keselamatan nyawa semasa melakukan aktiviti di laut.

Katanya, jaket keselamatan harus dipakai apabila berada di laut selain membawa alat keselamatan yang lain seperti Personal Locator Beacon (PBL).

“Selain itu, pastikan kapal dan bot berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan aktiviti di laut.

“Justeru itu, Maritim Malaysia memohon kerjasama komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau menemui sebarang petunjuk berkaitan kes

CARILAMAT kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau MERS 999,” katanya,

Tamat